KOTA KINABALU: Malaysia–China Chamber of Commerce (MCCC) Sabah menyambut baik rancangan kerajaan India untuk menubuhkan konsulat di Kota Kinabalu, menyifatkannya sebagai langkah strategik yang mampu merangsang pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.
Pengarah Hal Ehwal Komersialnya, Brian Ho berkata, pihaknya menyokong pandangan Datuk Abdul Kadir M.E. Sikkandar yang melihat pasaran India sebagai berpotensi besar untuk Sabah.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan keluar dari India berkembang pesat hasil peningkatan pendapatan dan pertumbuhan kelas pertengahan.
“Jika kita dapat menarik walaupun sebahagian kecil daripada 1.3 bilion penduduknya, impaknya kepada industri pelancongan Sabah amat signifikan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Sabah memiliki tarikan bertaraf dunia seperti Gunung Kinabalu dan kepulauan Semporna, tahap kesedaran dalam kalangan pelancong India masih rendah berbanding destinasi seperti Bangkok, Singapura dan Dubai.
Menurutnya, penubuhan konsulat akan memperkukuh hubungan institusi dan perniagaan ke perniagaan, memudahkan urusan pentadbiran serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pelancong selain berpotensi menyokong penerbangan terus pada masa depan.
Selain sektor pelancongan, beliau berkata peluang perdagangan melangkaui eksport minyak sawit sedia ada, termasuk produk halal, pemprosesan agro, pendidikan, pelancongan perubatan dan industri MICE.
“Sabah perlu mengamalkan pendekatan terbuka dan mempelbagaikan rangkaian perdagangan bagi memastikan daya saing jangka panjang,” katanya sambil menegaskan strategi pembangunan negeri tidak seharusnya bergantung kepada satu pasaran sahaja.
Pada masa sama, beliau menegaskan hubungan ekonomi Sabah dengan China kekal kukuh dan MCCC Sabah akan terus memainkan peranan sebagai jambatan kerjasama sambil menyokong usaha memperluas penglibatan dengan India serta pasaran lain.






