Maut Ketika Mengecas Telefon Bimbit Guna ‘Powerbank’

Maut Ketika Mengecas Telefon Bimbit Guna ‘Powerbank’

0
SHARE

TAMAN MERBOK, MELAKA – Akibat mengecas telefon bimbit menggunakan pengecas mudah alih atau lebih dikenali ‘powerbank’, seorang remaja lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas.

Mangsa, Syamirul Armizie Adenan yang berusia 19 tahun ditemui meninggal dunia di atas katil dengan terdapat kesan melecet pada bahagian bahu oleh ibunya Suriah Rahim, 48 tahun pada jam lebih kurang 8.10 pagi.

 Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian disedari oleh ibunya yang membuka bilik mangsa dengan menggunakan anak kunci pendua setelah mangsa tidak membuka pintu selepas diketuk berulang kali.

“Selepas berjaya dibuka, si mati ditemui dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon jenama Lenovo dan dalam keadaan bercas pada sebuah powerbank,” katanya.

Ibu mangsa yang juga seorang jururawat cuba mengejutkan mangsa selepas melihat mangsa terbaring di atas katil, namun usahanya gagal kerana mangsa tidak lagi bernyawa.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dibawa ke Hospital Melaka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian yang sama juga sebelum ini, bertempat di Taman Desa Biduri, Cheras, seorang wanita yang juga isteri kepada seorang anggota polis maut selepas terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas.