KOTA BELUD: Sebanyak 14 rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud tiba di lokasi kira-kira jam 11.48 pagi selepas menempuh jarak 36 kilometer.
Menurut sumber, kebakaran melibatkan keseluruhan kawasan berkeluasan kira-kira 148×82 kaki.
“Daripada 14 rumah terjejas, 10 daripadanya terbakar 100 peratus manakala empat lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan serta pam angkut menggunakan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
“Jentera Fire Rescue Tender (FRT) tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan laluan sempit dan keadaan jambatan yang tidak kukuh,” kata seorang jurucakap agensi.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada punca api berulang.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.






