Anak Guam Kami Tiada Kutip Derma untuk Bayar Yuran Guaman – Hamid

Anak Guam Kami Tiada Kutip Derma untuk Bayar Yuran Guaman – Hamid

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir tampil menafikan dakwaan tular bahawa anak guam mereka, Noraidah Lamat sedang mengutip derma bagi tujuan peribadi dan untuk membayar yuran guaman.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, peguam tersebut menjelaskan bahawa nombor akaun bank milik anak guam mereka yang tersebar di media sosial telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kami mendapat tahu bahawa tular nombor-nombor akaun anak guam kami di platform-platform media massa seolah-olah membayangkan anak guam kami sedang mengutip derma bagi dirinya sendiri dan membayar yuran guaman kami,” kata kenyataan itu.

Mereka menegaskan bahawa anak guam mereka tidak menjalankan sebarang kutipan derma ketika ini, sama ada untuk tujuan peribadi mahupun untuk menampung kos guaman.

Menurut mereka, akaun-akaun bank yang tular itu pernah digunakan beberapa hari selepas kematian seorang individu bernama Zara untuk menerima sumbangan orang ramai, namun kutipan tersebut telah dihentikan tidak lama selepas itu.

Sebarang sumbangan pada masa ini, jelas kenyataan itu, hanya akan diterima secara fizikal oleh anak guam sendiri atau melalui wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi autoriti oleh beliau.

Dalam kenyataan yang sama, pasukan guaman turut memaklumkan bahawa khidmat guaman yang mereka berikan adalah secara pro bono, iaitu tanpa sebarang bayaran.

Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh lima peguam, iaitu Hamid Ismail Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.