KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, mendesak kontraktor yang mengendalikan projek pembinaan flyover Tebobon, Sepanggar agar segera menambah baik pelan pengurusan trafik berikutan rungutan berterusan daripada penduduk serta pengguna jalan raya.
Beliau berkata, kelemahan pengurusan trafik sepanjang pembinaan telah mengakibatkan kesesakan luar biasa hampir sepanjang hari, selain meningkatkan risiko kemalangan, termasuk di lokasi yang pernah merekodkan insiden maut.
“Pusingan U terlalu jauh dan tidak tersusun, papan tanda pula tidak jelas serta mengelirukan. Tambahan pula, kawasan ini melibatkan empat sekolah, perkampungan dan perumahan padat. Keadaan ini bukan sahaja melambatkan urusan harian malah membahayakan keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Razali, kesesakan bukan hanya berpunca daripada kerja-kerja flyover, tetapi turut disumbangkan oleh kelewatan penurapan jalan di Bandar Sierra yang menjadikan lorong lebih sempit.

Beliau menegaskan, kontraktor sepatutnya mempunyai pelan kontinjensi sebelum memulakan projek serta memastikan pemantauan berterusan dilakukan, bukannya membiarkan rakyat menanggung kesusahan setiap hari.
“Kontraktor menerima bayaran lumayan, maka tidak wajar bersikap sambil lewa. Jika di Kuala Lumpur dengan projek mega mereka mampu mengatur pengurusan trafik dengan baik, mengapa di Kota Kinabalu tidak boleh? Ini soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Razali turut menggesa agar kontraktor serta pihak konsesi segera menyemak semula pelan pengurusan trafik, menambah papan tanda sementara yang lebih jelas, menyediakan laluan alternatif yang efisien serta melaksanakan pemantauan berkala.
“Infrastruktur sepatutnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan. Masa yang hilang, minyak yang terbazir dan tekanan emosi pengguna jalan raya adalah satu bentuk ketidakadilan sosial yang tidak boleh dibiarkan,” ujarnya.






