Ledakan Media Sosial Bentuk Penjajahan Baharu, Perlu Ditangani Segera – Masiung

Ledakan Media Sosial Bentuk Penjajahan Baharu, Perlu Ditangani Segera – Masiung

0
SHARE

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menyifatkan ledakan media sosial sebagai bentuk penjajahan baharu yang mampu mencetuskan kontroversi dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani secara serius.

Beliau menegaskan, kewujudan berita palsu serta penyebaran video pendek di platform digital kini menjadi ancaman terhadap kemerdekaan negara dan perlu diberi perhatian.

“Peningkatan polemik dalam pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Reels, kumpulan WhatsApp dan YouTube sering dijadikan medan untuk menyerang kerajaan atau institusi tertentu. Keadaan ini boleh melemahkan tadbir urus negara yang sedang merdeka,” katanya.

Masiung berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Terbuka Tongod, baru-baru ini.

Menurutnya, kandungan yang tidak ditapis di media sosial menjadi senjata tajam golongan tertentu untuk menyerang pihak lain sehingga mencetuskan fitnah dan hasutan.

Sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), beliau mengingatkan masyarakat agar menghayati erti kemerdekaan sebenar tanpa mengira usia dan latar belakang.

“Generasi muda harus sedar bahawa kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu. Malaysia mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah, berbeza dengan banyak negara lain yang terpaksa mengangkat senjata untuk bebas daripada penjajahan.

“Laungan ‘merdeka’ tidak akan bermakna sekiranya kita gagal mendalami dimensi pembangunan dan sosioekonomi negara yang menjadi asas kestabilan masyarakat berbilang kaum,” tegasnya.

Beliau menambah, ramai anak muda hari ini menganggap kemerdekaan hanya sekadar melaungkan slogan dan mengibarkan Jalur Gemilang, sedangkan kemerdekaan sebenar perlu dipupuk melalui pembinaan jati diri.

“Empat aspek utama yang membentuk kemerdekaan jiwa dan minda ialah agama, pendidikan, akhlak dan budaya. Tanpa pengisian ini, semangat merdeka akan menjadi kosong,” katanya.