TAWAU: UMNO Bahagian Kalabakan terus memantapkan gerak kerja di peringkat akar umbi dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.
Usaha itu dizahirkan melalui satu sesi silaturahim dan mesyuarat strategik bersama kepimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Batu yang berlangsung secara tertutup baru-baru ini.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, dan turut dihadiri Ketua PDM Tanjung Batu, Roslan Jumadi serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian dan cawangan.
Samasuddin dalam satu kenyataan menegaskan bahawa DUN Tanjung Batu bukan sekadar kerusi untuk dimenangi, tetapi satu legasi penting Barisan Nasional (BN) yang perlu dipertahankan.
“Kita bukan sekadar mahu menang, kita mahu mempertahankan warisan perjuangan. Komitmen dan semangat juang pemimpin cawangan amat membanggakan dan ini memberi keyakinan bahawa kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa sokongan rakyat di kawasan itu semakin kukuh berkat usaha berterusan kepimpinan tempatan yang gigih mendekati masyarakat dan menyelesaikan isu-isu setempat.
Samasuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan ahli parti yang kekal setia bersama perjuangan UMNO walaupun berdepan cabaran politik semasa.
“Kita perlu bekerja secara tersusun dan kolektif. Ini adalah amanah yang harus dipikul bersama demi masa depan rakyat Tanjung Batu dan generasi akan datang,” tambahnya.
Mesyuarat tersebut turut menjadi medan penting untuk memperhalusi strategi serta memperkukuh rangkaian komunikasi antara kepimpinan bahagian dan jentera di peringkat cawangan.
Program ini bukan sahaja menyelaras gerak kerja pilihan raya, malah menjadi ruang untuk berbincang isu-isu semasa dan mengenal pasti pendekatan terbaik menangani keperluan masyarakat setempat.
“Kita akan terus memastikan UMNO kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat, bukan hanya kerana sejarahnya, tetapi kerana kemampuannya untuk membawa penyelesaian kepada masalah rakyat,” ujar beliau.
UMNO Kalabakan menyasarkan kesatuan dan kesetiaan sebagai kunci kejayaan parti di DUN Tanjung Batu, dan menyeru semua jentera untuk bersiap siaga demi memastikan kemenangan berterusan BN di Sabah.






