GRS PERLU DIBERIKAN RUANG MENTADBIR DUN LAMAG & PARLIMEN KINABATANGAN

GRS PERLU DIBERIKAN RUANG MENTADBIR DUN LAMAG & PARLIMEN KINABATANGAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pemergian Almarhum Datuk Seri Bung Moktar Radin sememangnya memberi kesan mendalam kepada rakyat Kinabatangan. Namun apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan diadakan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kembali dipertandingkan, rakyat perlu memilih berdasarkan masa depan, bukan emosi.

Kinabatangan adalah daerah terbesar di Sabah dengan keluasan hampir 18,000 km² dan lebih 216,000 penduduk. Tetapi pembangunan asas masih jauh tertinggal. Jalan rosak, air tidak stabil, elektrik kerap gagal dan kemudahan kesihatan tidak mencukupi.

Lebih mengecewakan penduduk, walaupun Bung Moktar pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, keadaan jalan utama di Kinabatangan masih kekal teruk dan tidak menunjukkan peningkatan ketara.

PRN–Sabah 2025 pula menunjukkan perubahan sokongan rakyat yang sangat jelas. Bung Moktar hanya menang DUN Lamag dengan majoriti kecil 153 undi, sesuatu yang tidak pernah berlaku sepanjang kerjaya politiknya.

Keputusan rasmi PRN Ke-17 Sabah bagi DUN Lamag…(Sumber Foto: Bernama)

Pada PRN itu, Bung Moktar memperoleh 3,908 undi, manakala calon GRS Johanizamshah Johari mendapat 1,646 undi dan calon bebas Miha @ Mohd Ismail Ayob — bekas pemimpin PGRS yang bertanding kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon telah meraih 3,755 undi. Jika undi Johanizamshah dan Miha digabungkan, jumlahnya ialah 5,401 undi, jauh mengatasi undi UMNO sebanyak 3,908.

Ini bukti paling kukuh bahawa sokongan rakyat sebenarnya memihak kepada GRS, tetapi kemenangan UMNO berlaku hanya kerana perpecahan undi.

Kini muncul pula khabar bahawa Datuk Jafry Ariffin bakal dicalonkan UMNO di Parlimen Kinabatangan, manakala Naim Moktar pula dijangka menggantikan ayahnya di Dun Lamag. Namun majoriti rakyat mulai menolak politik dinasti kerana berpendapat kerusi Parlimen dan DUN bukan hak warisan keluarga.

Datuk Jafry Ariffin…

Walaupun UMNO kini menyertai kerajaan negeri Sabah, ini tidak bermakna GRS perlu mengalah atau berkompromi. Pertembungan GRS–UMNO boleh berjalan sebagai pertandingan persahabatan, iaitu pertandingan sihat untuk memberi peluang kepada rakyat memilih calon paling layak.

Dalam konteks pembangunan, GRS memiliki kelebihan jelas kerana dasar kerajaan negeri sejak empat tahun lalu memberi fokus kepada jalan desa, air graviti, elek­trifikasi luar bandar dan program kebajikan yang lebih tersusun. Ini lebih selaras dengan keperluan besar Kinabatangan.

Rakyat Kinabatangan hanya mahukan pembangunan sebenar. Mereka mahu jalan yang baik, air yang stabil, elektrik tanpa gangguan, peluang pekerjaan anak muda dan kemudahan kesihatan yang setimpal dengan keluasan daerah mereka.

Semua ini memerlukan kepimpinan baharu yang bekerja keras, bukan kesinambungan struktur lama yang tidak lagi efektif.

Melihat kepada data undi, perubahan sentimen rakyat dan realiti pembangunan semasa, mesej warga Kinabatangan semakin jelas.

Kinabatangan dan DUN Lamag perlukan pembaharuan. GRS wajar diberi peluang menerajui kawasan ini demi masa depan yang lebih baik.