PETALING JAYA – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Haris Kasim terkejut apabila dimaklumkan kepada beliau oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Munir Bani bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Ahli Parlimen PKR Subang, R Sivarasa baru-baru ini.
Ini susulan daripada Sivarasa yang dilaporkan memasuki Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, sebagai mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum beliau didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat

Ini ditambah lagi dengan gambar kehadiran Sivarasa yang sedang berceramah turut tersebar di media sosial sehingga menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati pihak tertentu.

Memetik laporan BH Online, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa selaku Pengarah JAIS melalui ucapan beliau pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai berkata “semua pengurusan masjid perlu akur tidak membenarkan penceramah tiada bertauliah untuk memberi ceramah.
“Pengurusan masjid terbabit juga sudah dipanggil Jumaat lalu untuk memberi keterangan mengenai insiden itu dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Istana Selangor,” katanya.
Terdahulu, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum kepada JAIS hari ini, berhubung tindakan Sivarasa itu. Kandungan utama memorandum itu adalah untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan memperlekehkan agama Islam.
Setiausaha Agong Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Datuk Khairul Khuzaini Zamsani berkata, pihaknya bersama NGO dari Permuafakatan Ayahanda-Ayahanda Semalaysia (PERMAS), Wakil Penduduk Kota Damansara dan Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS) menyerahkan memorondum berkenaan kepada wakil JAIS untuk tindakan lanjut ke atas Sivarasa.





