Pengarah DIDR Mengaku Tidak Bersalah 11 Pertuduhan Bersubahat Terima Barangan Bernilai Lebih...

Pengarah DIDR Mengaku Tidak Bersalah 11 Pertuduhan Bersubahat Terima Barangan Bernilai Lebih RM60,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pengarah jabatan kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas 11 pertuduhan bersubahat menerima barangan bernilai kira-kira RM63,197 daripada syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan jabatan berkenaan.

Tertuduh, Tseu Kei Yue, 58, yang merupakan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan beberapa penjawat awam di jabatan berkenaan untuk menerima pelbagai barangan berharga tanpa balasan daripada syarikat yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi mereka sekitar Januari 2024 di sebuah premis di Pusat Perindustrian Sri Inanam, Kota Kinabalu.

Antara barangan yang didakwa diterima termasuk mesin basuh pengering LG, beberapa unit telefon pintar termasuk iPhone 15 Pro Max dan Samsung Galaxy S23 Ultra, dengan nilai setiap satu antara RM4,999 hingga RM7,100.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan deposit RM10,000, selain menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Bartholomew Jingulam.