Tapak Sekolah Baharu Perlu Diteliti Elak Kawasan Mudah Banjir – Focal Person...

Tapak Sekolah Baharu Perlu Diteliti Elak Kawasan Mudah Banjir – Focal Person KPM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pembangunan sekolah baharu di Sabah perlu dirancang secara lebih teliti dengan memilih lokasi yang strategik dan tidak mudah dilanda banjir bagi mengelakkan gangguan kepada sesi pembelajaran pelajar.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, perkara itu penting memandangkan beberapa sekolah di negeri ini terjejas akibat banjir yang berlaku berulang kali di beberapa daerah termasuk Paitan baru-baru ini.

Menurutnya, faktor lokasi serta sistem saliran perlu diberi perhatian dalam setiap perancangan pembangunan sekolah pada masa hadapan.

“Apabila kita membangunkan sekolah baharu, kawasan pembinaannya perlu diteliti dengan baik dan sistem saliran perlu disediakan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui media pada Khamis.

Beliau berkata keadaan hujan yang tidak menentu di Sabah sering menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir sehingga menjejaskan operasi sekolah dan kemudahan pembelajaran.

Sehubungan itu, katanya pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) juga boleh meneliti semula keadaan sekolah sedia ada yang sering terjejas banjir bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang sesuai.

Pada masa sama, Arif berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat menyegerakan peruntukan bagi membaik pulih kemudahan serta peralatan sekolah yang rosak akibat banjir supaya sesi persekolahan dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Saya berharap peruntukan dapat disegerakan bagi membaik pulih kemudahan yang rosak supaya sekolah dapat dibuka semula dengan segera dan pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa,” katanya.