PENAMPANG: Penganjuran Penampang 4×4 Kaamatan Challenge ke-9 dijangka menghimpunkan peminat dan peserta sukan kenderaan pacuan empat roda dari seluruh rantau apabila acara itu berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2026.
Sebagai persediaan menjelang penganjuran tersebut, barisan Exco Kelab Penampang 4×4 telah mengadakan beberapa kunjungan hormat kepada pihak berkuasa daerah pada 9 dan 11 Mac lalu bagi membincangkan aspek perancangan, penyelarasan serta sokongan agensi berkaitan.
Pada 9 Mac lalu, Presiden Kelab Penampang 4×4, Alex Leong, bersama Exco kelab Franky Collin dan Alison Murugesu serta ahli kelab Macky dan Jovi Yih mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, di pejabatnya.
Menurut Alex, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan aspek keselamatan dan pengurusan acara bagi memastikan penganjuran cabaran 4×4 itu berjalan lancar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas sokongan dan kerjasama yang diberikan terhadap penganjuran acara tersebut.
Sementara itu, pada 11 Mac, Alex bersama Naib Presiden Andre Norbert Lee, Penolong Setiausaha Alison Murugesu dan Jovi Yih turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Daerah Penampang, Puan Noemi, di pejabatnya.
Pertemuan tersebut membincangkan persiapan penganjuran Penampang 4×4 Kaamatan Challenge ke-9, yang dijadualkan memulakan acara secara rasmi dari Pejabat Daerah Penampang.
Dalam pertemuan itu, Puan Noemi turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli Kelab Penampang 4×4 atas komitmen berterusan mereka dalam aktiviti khidmat masyarakat di daerah berkenaan.
Beliau berkata kelab tersebut sering memainkan peranan aktif dalam membantu komuniti, termasuk menyumbang tenaga, kepakaran dan kenderaan semasa pelbagai program kemasyarakatan serta operasi bantuan bencana.
Penganjuran Penampang 4×4 Kaamatan Challenge ke-9 dijangka menjadi antara acara sukan bermotor yang meriah di daerah ini, selain menyemarakkan semangat komuniti bersempena sambutan Pesta Kaamatan.






