TERENGGANU – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mendedahkan, seramai 22,156 orang lelaki di negara ini telah mendapatkan khidmat kaunseling daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.
Jelas beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.
“Kebanyakan lelaki yang telah menghadiri sesi kaunseling sama ada secara individu atau berkelompok tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan usia perkahwinan antara setahun hingga lima tahun.
“Khidmat kaunseling yang diberikan melalui Helpline FamilyCare@LPPKN ini adalah secara bersemuka dalam talian dan panggilan telefon,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru lebih ramai kaum lelaki khususnya golongan bapa supaya memanfaatkan bantuan psikososial yang disediakan LPPKN tersebut dan tidak menunggu sehingga masalah semakin kritikal, demi kesejahteraan mereka dan keluarga.





