AFJET TUNTUT SETENGAH JUTA DARI KUMPULAN SEARCH

AFJET TUNTUT SETENGAH JUTA DARI KUMPULAN SEARCH

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock legenda, Search diminta untuk menyelesaikan pembayaran tuntutan gantirugi khas berjumlah hampir RM500,000 dalam tempoh terdekat ini kepada Syarikat Afjets Sdn Bhd (Afjets) seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Ogos 2017.

Afjets adalah syarikat yang sepatutnya menaja dan menganjur Konsert Search 35 Tahun yang dirancang untuk diadakan pada 2016 tetapi kemudian dibatalkan oleh anggota kumpulan rock itu.

Susulan pembatalan siri konsert terbabit, Afjets mengambil tindakan mahkamah terhadap kumpulan Search, lapor Harian Metro.

Pada 18 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib dan Hamzah Mohd Taib (Kid) membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka. Afjets juga diputuskan berhak untuk menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search, Suhaimi Abd Rahman atau Amy pada masa itu kerana beliau sudah muflis. Afjets juga difahamkan ketika ini, Nasir yang juga pemain bass turut muflis.

Peguam Afjets, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates dalam satu kenyataan berkata, anak guamnya mengambil maklum laporan media mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu Konsert Search Endemik dan Search Rockin’ On Rooftop, baru-baru ini yang dijayakan anggota Search yang kini bergerak berasingan.

Katanya, Afjets juga mengambil perhatian dengan pengumuman pihak pengurusan Search yang dianggotai Noordin dan Kid mengenai siri konsert jelajah di Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dijangka berlangsung antara Ogos ini hingga Mac tahun depan.

“Pihak Afjets terkejut dan memandang serius pengumuman itu kerana selepas hampir lima tahun, Afjets masih lagi menunggu maklum balas daripada Search mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu…

“Afjets akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat ini untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan sebanyak hampir setengah juta Ringgit dan ganti rugi am yang belum ditaksir,” katanya.

Adnan berkata, Afjets sudah memberikan tempoh yang agak lama untuk Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka.

“Kami beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini dan pengumuman siri konsert yang berikutnya membayangkan Search kini sudah kembali ke landasannya dan boleh melunaskan segala komitmen kewangannya yang tertunggak,” katanya.

Afjets juga sudah mengarahkan peguamnya untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017 itu termasuk berhubung dengan pihak pengurusan Search.