Lebih 400,000 Kanak-Kanak Di Malaysia Hadapi Masalah Kesihatan Mental – MYCAPs

Lebih 400,000 Kanak-Kanak Di Malaysia Hadapi Masalah Kesihatan Mental – MYCAPs

0
SHARE

KUALA LUMPUR Dianggarkan, seramai 424,000 kanak-kanak di Malaysia sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Laporan tersebut berdasarkan statistik tinjauan kesihatan dan morbiditi Malaysia pada 2019, dimana isu kesihatan mental dalam kalangan golongan itu di negara ini sebagai satu epidemik.

Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MYCAPs) memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.

“Menurut WHO dalam 50 peratus, masalah kesihatan mental bermula sebelum mereka berumur 14 tahun dan 75 peratus bermula pada umur 20an,” menurut persatuan itu dalam kenyataan satu kenyataan.

MYCAPs berkata, pencegahan masalah kesihatan mental perlu bermula dari seawal usia bayi…

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka melalui penyediaan persekitaran berkualiti dan sejahtera.

Ini termasuk memastikan persekitaran mereka sentiasa selamat, stabil dan penuh kasih sayang.

“Keperluan kesihatan mental kanak-kanak termasuklah menerima kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa…

“Kanak-kanak perlu berada dalam persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin serta mereka tahu adanya sokongan.

“Di samping itu, peluang untuk mereka bermain dengan kanak-kanak lain, dapat memberi kesempatan untuk mereka membina keyakinan dan harga diri,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, banyak kanak-kanak membesar dalam persekitaran rumah tidak selamat yang mana ibu bapa mereka tiada secara fizikal atau emosi.

“Bagi peringkat kanak-kanak dan remaja pula, ibu bapa perlu menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta memberikan mereka ruang untuk bercakap tanpa bersikap kritikal dan menghakimi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MYCAPs, kesihatan mental yang baik mendorong perkembangan, pencegahan, pemulihan dan daya tahan untuk kanak-kanak membesar dengan sihat bagi mencapai potensi, membentuk resilien dan peribadi positif apabila meningkat dewasa.