TUARAN, SABAH – Kemasukan lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah termasuk tiga bekas wakil rakyat Parti Warisan (WARISAN) ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dibuat atas kerelaan hati sendiri.
Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden PGRS, Datuk Seri Hajiji Noor menyangkal kenyataan presiden dua parti terbabit iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Shafie Apdal bahawa wakil rakyat mereka terbabit telah dibeli.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan lapan orang pemimpin terbabit yang keluar dari parti mereka sebelum ini dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat Sabah.
“Kita menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak terutama Presiden WARISAN yang menyatakan mereka dibeli atau diberi rasuah.
“Itu tidak benar sama sekali. Boleh tanya kepada wakil-wakil rakyat yang menyeberang dan menyokong kerajaan sekarang ini.
“Mereka menyokong kerana mereka fikir perlu menyokong kerajaan yang ada ini untuk kebaikan dan kepentingan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.
Baru-baru ini, Bung Moktar dan Shafie menyuarakan kehampaan mereka berhubung ADUN dari parti masing-masing di Parlimen.
Lima orang UMNO itu ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasni Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tampasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung).
Manakala tiga dari WARISAN ialah Norazlinah Arif (Kunak), Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan terima kasih terhadap sokongan ‘u-turn’ Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
KDM yang memiliki tiga kerusi ADUN berpihak kepada blok pembangkang dalam percubaan untuk menjatuhkan kerajaan GRS pada Januari lepas walaupun presidennya, Datuk Peter Anthony, sebelumnya telah berkata untuk menyokong kerajaan.
“Terpulanglah kepada mereka (KDM) menerima kepimpinan saya dan menyokong. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Itu adalah atas kerelaan mereka sendiri,” katanya.





