Imigresen Sandakan Gempur Pusat Hiburan, 12 PATI Ditahan

Imigresen Sandakan Gempur Pusat Hiburan, 12 PATI Ditahan

0
SHARE
Seorang pegawai JIM Sabah memeriksa dokumen pengenalan pengunjung premis hiburan berkenaan. Gambah ihsan JIM Sabah...

SANDAKAN, SABAH – Dua belas (12) pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada sebuah premis hiburan di Bandar Indah, Batu 4 sini pada Jumaat.

Seramai 40 orang telah diperiksa dalam ‘Operasi Gegar’ kira-kira jam 11.25 malam itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI), Afizan Bin Samsi, bersama 13 orang Pegawai Imigresen dari Unit Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Sandakan.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata,orang yang ditahan terdiri daripada enam (6) lelaki dan lima (5) wanita warganegara Filipina serta seorang lelaki warganegara Indonesia.

“Kesemua PATI yang ditahan adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan berumur di antara 17 sehingga 32 tahun…

“Semasa serbuan dilakukan ada yang berhibur sebagai pelanggan dan selainnya turut disyaki sebagai pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut ditahan semasa serbuan adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja orang asing yang tidak memiliki pas yang sah.

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di dalam premis tersebut.

Tambahnya, operasi-operasi di premis hiburan akan dipergiat untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah akan terus komited dalam usaha untuk membanteras dan mencegah kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memberi amaran kepada orang awam khusunya majikan agar mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa.

“Saya juga dengan tegasnya mengingatkan pihak-pihak yang telibat agar tidak memperlekeh dan melanggar undang-undang Imigresen kerana JIM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompromi kepada mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati adanya kehadiran PATI dan aktiviti seumpama ini.