KOTA MARUDU, SABAH – Pasukan Bomba daerah menyelamatkan seramai 45 orang di Kolam Batu Gajah, Kampung Longob yang terperangkap dalam kepala air pada petang Isnin.
Difahamkan mangsa-mangsa merupakan peserta pertandingan memancing sebelum kejadian kepala air memerangkapi mereka di seberang sungai kerana satu-satunya jambatan yang ada hanyut dibawa arus deras.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata seramai 7 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu bergegas ke lokasi berjarak 14km sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.11 petang dan tiba dalam masa 19 minit.
“Semua mangsa diselamatkan menggunakan tali dan tangga tanpa kecederaan…
“Mangsa terdiri daripada 23 orang lelaki, 15 wanita dan 7 kanak-kanak.
“Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.47 petang,” kata seorang jurucakap bagi agensi terbabit.