TUARAN: Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dikehendaki berkaitan beberapa kes jenayah di sebuah pusat komersial di CKS Plaza, yang turut tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Supritendan Noraidin Ag. Maidin, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPK Sabah mengesan kenderaan suspek di kawasan plaza.
“Pasukan serbuan bertindak menghampiri kenderaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sambil menunjukkan kad kuasa PDRM.
“Menyedari kehadiran polis, suspek mengundur laju dan melanggar kenderaan pasukan beberapa kali dengan tujuan melarikan diri,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pihak polis kemudian memecahkan cermin penumpang hadapan sebelah kiri untuk melaksanakan tangkapan.
“Semasa proses itu berlaku pergelutan antara pasukan serbuan dan suspek. Polis terpaksa menggunakan kekerasan minima. Tiada sebarang tembakan dilepaskan,” jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berdekatan.






