DYMM YANG DI-PERTUA PERTUA AGONG PERKENAN DARURAT, PM AKAN UMUM JAM 11...

DYMM YANG DI-PERTUA PERTUA AGONG PERKENAN DARURAT, PM AKAN UMUM JAM 11 PAGI INI

0
SHARE

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan Pengumuman Khas Darurat di negara ini, 11 pagi ini menerusi siaran langsung di stesen televisyen RTM, Bernama TV, Astro Awani dan TV3.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan selepas menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada Isnin.

Proklamasi Darurat itu bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ketika ini.

Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait…

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Menurut statistik, lima belas hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil.

COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Kenyataan sama turut menyebut, baginda yang menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara, semalam (Isnin) selama 45 minit juga memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.