KUNDASANG: Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah Siri 3 berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh kefahaman, kompetensi dan semangat patriotisme dalam kalangan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) serta Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO).
Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, program itu menjadi platform penting dalam memperkasakan peranan warga UPPM sebagai penghubung kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menyampaikan dasar Malaysia MADANI serta agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, penyertaan peserta dari kawasan DUN N.39 Tambunan hingga N.73 Sebatik mencerminkan komitmen tinggi untuk meningkatkan ilmu, kepimpinan dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada pengisian berkaitan konsep Malaysia MADANI, kepimpinan komuniti, patriotisme, integriti serta tanggungjawab sebagai pelaksana dasar kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa warga UPPM memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan dan perpaduan masyarakat terus terpelihara, selain menggesa agar peluang latihan dan pembangunan kompetensi dimanfaatkan sepenuhnya.
Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), fasilitator dan urus setia atas kejayaan penganjuran program tersebut.
Beliau berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada tindakan berkesan demi manfaat rakyat, negeri dan negara.






