Horizon Hotel Pupuk Generasi Derma Darah, Kutip 63 Beg

Horizon Hotel Pupuk Generasi Derma Darah, Kutip 63 Beg

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan derma darah terus diperkukuh apabila Horizon Hotel menganjurkan Kempen Derma Darah Tahunan 2026 dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital, Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Wilayah Sabah.

Program yang berlangsung di hotel berkenaan menghimpunkan masyarakat setempat bagi membantu memastikan bekalan darah di hospital sekitar Sabah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit kecemasan, pembedahan dan rawatan penyakit kronik.

Selain aktiviti derma darah, peserta turut diberi pendedahan asas bantuan kecemasan melalui sesi Basic CPR yang dikendalikan SJAM Sabah, sebagai usaha meningkatkan kesedaran respons awal ketika situasi kritikal.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Horizon Hotel, Nur Idayu Bujang berkata program itu bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat, tetapi usaha berterusan membudayakan sikap prihatin dan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata kempen kali ini berjaya mengumpulkan 63 beg darah, manakala 18 individu tidak layak menderma selepas menjalani saringan kesihatan mengikut prosedur keselamatan.

Katanya, kempen turut mencatat detik istimewa apabila seorang penderma berusia 18 tahun, Muammar Shauqi Marzuky, tampil sebagai penderma kali pertama paling muda, sekali gus mencerminkan kesedaran tinggi dalam kalangan belia.

“Setiap beg darah mampu menyelamatkan lebih daripada satu nyawa. Kami berharap lebih ramai tampil menderma kerana sumbangan kecil ini memberi impak besar kepada pesakit yang memerlukan,” katanya.

Sebagai penghargaan, penderma menerima pelbagai hadiah dan kemudahan parkir percuma sepanjang program berlangsung.

Horizon Hotel berharap kempen tahunan ini terus mendapat sokongan masyarakat dan memperkukuh kesedaran bahawa derma darah merupakan tanggungjawab sosial yang mampu menyelamatkan nyawa.