
KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengedarkan bakul makanan bernilai RM1 juta kepada masyarakat di 15 daerah di Sabah yang membabitkan kawasan pengoperasian syarikat tersebut.
Bakul makanan berkenaan kini dalam proses untuk diedarkan dan akan disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Papar, Beaufort, Membakut, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata Kerajaan Negeri telah mengagihkan sejumlah 40,736 bakul makanan kepada golongan terkesan menerusi Program Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, yang bermula pada 19 Jun lalu.
Sebelum ini, kerajaan sudah mengagihkan bantuan bakul makanan menerusi BSP 1.0 yang membabitkan sebanyak 322,122 bakul manakala BSP2.0, sebanyak 367,231 bakul.
Beliau menegaskan bahawa semua orang harus bersatu dalam memerangi penularan COVID-19 dan yang paling penting adalah untuk divaksin secepat mungkin.
“Selain Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), saya mendesak semua wakil rakyat untuk terus menangani dan berusaha mempercepatkan proses pendaftaran vaksin di kawasan masing-masing agar sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dapat dicapai…
“Begitu juga, saya juga menggesa badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus meluangkan masa dan usaha mereka bagi membantu dalam proses ini.
“Kita perlu meningkatkan pendaftaran secara manual di kawasan yang kekurangan dari segi pencapaian jaringan internet kerana di kawasan seperti inilah bantuan sangat diperlukan bagi melengkapi program jangkauan bergerak,” katanya.
Ketua Menteri turut mengatakan bahawa jumlah orang yang mendapat vaksin dos pertama di bawah fasa pertama dan kedua semakin meningkat dengan 333,983 orang setakat ini, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kita berharap akan mencapai sasaran 30,000 orang yang diberi vaksin setiap hari mulai bulan Julai dan seterusnya, sekali gus melebihi jumlah harian yang dicatat sekarang ini iaitu 13,000 orang,” tambahnya lagi.
Terdahulu Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie berkata, sumbangan Kumpulan Sawit Kinabalu akan memberi manfaat kepada 10,000 ketua isi rumah (KIR) di daerah masing-masing dan menjamin bahawa Sawit Kinabalu akan meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama yang terkesan akibat pandemik itu.