KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyerahkan sumbangan khas musibah kebakaran berjumlah RM16,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Tanjung Aru di sini, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16 KIR yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah yang berlaku awal bulan ini, masing-masing mendapat sumbangan sebanyak RM1,000
Majlis penyerahan sumbangan itu disampaikan secara simbolik oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru Reduan Aklee.
Arifin ketika ditemui berkata, bantuan yang disalurkan itu sedikit sebanyak dapat membantu keperluan harian mangsa terlibat.
“Pada hari ini saya bersama rombongan dari beberapa agensi agama Sabah menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru dan ada 16 KIR dengan 61 ahli dan enam buah rumah terbakar.
“Selain MUIS, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) turut membantu keperluan seperti mana kita membantu mana-mana mangsa kebakaran dan banjir,” katanya.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, pihak PPM Tanjung Aru selepas ini akan turut berbincang dengan Ketua Menteri untuk mendapatkan keperluan bagi membantu mangsa kebakaran.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya enam buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.33 petang itu, kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau kemalangan jiwa berlaku.