PAPAR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas lemas ketika mandi di Sungai Kaiduan berhampiran kawasan perkhemahan di sini pada Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari sebelum tiba di lokasi pada 1.10 petang, kira-kira 33 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar.
Menurut JBPM, mangsa telah ditemui dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Pasukan bomba menjalankan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa, namun dia disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar tamat pada 2.15 petang.






