TENOM: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang hampir lima hari sejak Jumaat lalu selepas dikatakan pergi ke Kebun di Jalan Kemabong Kampung Baru Tenom pada hari tersebut dan tidak pulang hingga hari ini.
Bagaimanapun, laporan mengenai kehilangan mangsa, Joseph Silang yang berusia 60 tahun itu dibuat selepas tiga hari (Ahad) tidak ditemui oleh penduduk kampung.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mclean C Madis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan itu pada malam Ahad, jam 10.36 malam.
“Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 bahawa terdapat seorang mangsa lelaki dikhuatiri hilang di hutan.
“Menurut pengadu, iaitu JKKK Kampung, mangsa telah keluar ke kebun pada pagi Jumaat (16 Ogos) dan sehingga kini belum pulang ke rumah sementara operasi pencarian turut giat dilaksanakan oleh orang kampung.
“Manakala, operasi mencari dan menyelemat (SAR) pada hari ketiga, iaitu hari ini dimulakan pada jam 9.15 pagi bersama beberapa agensi lain serta orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas Mclean, operasi SAR dianggotai oleh sembilan anggota pasukan bomba dari BBP Tenom, dua unit pengesan K9, serta dibantu oleh anggota dari agensi lain termasuk sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), lapan anggota RELA dan 30 orang awam.
Tambahnya, pencarian dijalankan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang dan akan pihaknya akan mengemaskini maklumat pencarian dari masa ke semasa.