PROFIMA Sasar Semua Ahli Mencarum PERKESO Menjelang Pertengahan 2023

PROFIMA Sasar Semua Ahli Mencarum PERKESO Menjelang Pertengahan 2023

0
SHARE

KUALA LUMPUr – Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) Khalil Salleh berkata, persatuan itu mensasarkan semua ahlinya mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjelang pertengahan tahun depan.

Katanya, persatuan itu akan memastikan ahli PROFIMA memberi sepenuh komitmen untuk mencarum.

Jelas beliau, itu ialah antara usaha bagi menyelesaikan isu kebajikan khususnya keselamatan anggota kru penerbitan di lokasi penggambaran.

“PROFIMA berharap isu caruman PERKESO dalam kalangan ahli mendapat sambutan dan komitmen menyeluruh bagi menyelesaikan isu lama yang menjadi fokus kami…

“Selain isu kebajikan, kami juga memberi tumpuan kepada isu keselamatan di lokasi dan waktu bekerja dalam kalangan kru filem,” katanya menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.

Beliau berkata, isu berkaitan caruman PERKESO adalah salah satu agenda perjuangan dan misi PROFIMA ketika ini.

“Kami mengutamakan penyelesaian isu kebajikan dalam kalangan ahli berdaftar yang berjumlah 23,000 orang serta 7,000 ahli aktif di lapangan.

“Kebanyakkan mereka masih belum menyedari berkaitan faedah dan manfaat besar dari caruman PERKESO iaitu melalui Skim Bekerja Sendiri di bawah sektor kesenian,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalil berkata kini hanya 20 peratus sahaja kru filem yang ada di negara ini sudah mencarum dengan PERKESO.

“Kebanyakan mereka yang mencarum adalah melalui majikan kerana terlibat dalam penggajian tetap kepada kru di belakang tabir,” katanya…

Katanya, PERKESO juga telah menunjukkan inisiatif bagi membantu kru filem dengan memperuntukkan sumber.

“Namun, sehingga kini skim caruman bekerja sendiri masih belum mendapat sambutan menyeluruh dalam kalangan warga filem dan seni tanah air, meskipun inisiatif diskaun telah diberikan.

“PROFIMA antara persatuan filem yang tampil bekerjasama selain persatuan-persatuan perfileman yang lain,” katanya.