TUARAN: Penganjuran Rhinos Cup (Sportink) 2026 dilihat mampu membuka laluan lebih luas kepada bakat muda Sabah untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus menjadi medan penting dalam memperkukuh masa depan bola sepak negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan.
“Sebaliknya menjadi platform penting dalam usaha mengenal pasti dan menggilap potensi pemain muda berbakat dari seluruh daerah di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rhinos Cup (Sportink) 2026 sempena Kejohanan Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu, Tuaran, pada Ahad.
Menurut Ghazali, Rhinos Cup 2026 yang julung kali diadakan di Sabah turut menjadi medan persediaan kepada pasukan dari daerah untuk membuktikan kemampuan, memburu kejuaraan dan seterusnya berpeluang mewakili Sabah ke Liga Remaja Kebangsaan 2026 di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.
Katanya, kejohanan itu merupakan peluang terbaik kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) untuk membentuk sebuah pasukan berkualiti dalam kalangan anak tempatan yang mampu memberikan saingan kepada pasukan dari negeri-negeri lain.
“Rhinos Cup merupakan satu platform terbaik dalam usaha mengenal pasti bakat muda serta menyediakan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ghazali menegaskan kejayaan bola sepak Sabah bukan hanya bergantung kepada kemampuan pemain di atas padang, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi sistem pengurusan yang teratur serta kedudukan kewangan yang kukuh.
Beliau percaya, dengan pengurusan yang baik dan tersusun, SAFA mampu membawa bola sepak Sabah ke tahap lebih tinggi dan seterusnya menjadikan pasukan negeri ini lebih disegani pada masa akan datang.
Pada masa sama, Ghazali turut menyambut baik pelaksanaan pelbagai program pembangunan sempena kejohanan berkenaan termasuk klinik bola sepak, klinik bola sepak pantai dan street football yang melibatkan pemain bawah 12, 14 dan 17 tahun.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta mendapat pendedahan dan bimbingan daripada jurulatih, sekali gus membantu usaha mengenal pasti potensi pemain sejak di peringkat akar umbi.
Beliau berharap program pembangunan seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah supaya lebih ramai pemain muda tempatan mendapat peluang serta pendedahan yang sewajarnya.
Majlis anjuran Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA itu turut dihadiri Naib Presiden IV SAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia SAFA, Rafie Robert, Setiausaha Agung SAFA, barisan Ahli Majlis Tertinggi SAFA serta wakil persatuan bola sepak daerah.






