KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 90 murid Sekolah Rendah (SK) Pulau Gaya mengalami keracunan makanan pada sekitar jam 12 tengah hari kelmarin (22 Julai).
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, guru memaklumkan terdapat murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.
“Maklumat awal yang diperoleh terdapa lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan.
“Susulan itu, pihak sekolah bertindak mengumpul maklumat murid yang terlibat kemudian membawa beberapa orang murid ke Hospital Likas selain di bawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) dan Klinik Kesihatan Luyang.
“Pihak sekolah turut memberhentikan pembekalan RMT serta merta bagi sesi petang serta menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu turut mendapatkan maklumat pesakit yang mana 55 murid dirawat di Hospital Likas, 25 murid di HQE1, 8 murid di Klinik Kesihatan Luyang, 1 murid d Klinik UTC dan 2 murid di Jeti SAFMA.
“Status kesihatan murid pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital serta tidak ada kes tahap kritikal. Manakala 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.
“Pihak PPD telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini.
“Semalam, pihak PPD turut mengarahkan supaya perkhidmatan kantin dan RMT diberhentikan serta merta demi keselamatan murid buat sementara waktu,” jelasnya.






