DBKK Perketat Pemantauan Bazar Ramadan, Pastikan Makanan Selamat dan Bersih – Sabin

DBKK Perketat Pemantauan Bazar Ramadan, Pastikan Makanan Selamat dan Bersih – Sabin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat pemantauan di semua bazar Ramadan sekitar bandar raya ini sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual selamat, bersih dan mematuhi piawaian kesihatan ditetapkan.

Mayor DBKK, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, pemeriksaan dijalankan setiap hari membabitkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran serta Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

“Kita memang setiap hari mengadakan lawatan di kawasan bazar yang dikendalikan oleh DBKK atau persatuan. Selain tahap kebersihan, kita juga memeriksa sama ada pengendali makanan telah menerima suntikan yang diperlukan serta memastikan makanan yang dijual sentiasa bertutup dan tidak basi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama uan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman dan isteri, anjuran DBKK, semalam.

Menurut beliau, DBKK turut memberi perhatian terhadap penyediaan makanan di tapak bazar termasuk aktiviti memasak ringan seperti menggoreng di lokasi jualan.

“Kita akan pastikan minyak masak terpakai tidak dibuang sewenang-wenangnya ke dalam parit berhampiran. Kebersihan kawasan juga dipantau supaya sentiasa terjaga,” jelasnya.

Sabin menegaskan, langkah penguatkuasaan dan pemantauan berterusan itu penting bagi melindungi kesihatan pengguna sepanjang Ramadan serta memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata majlis berbuka puasa anjuran DBKK itu bertujuan mengeratkan hubungan antara warga DBKK, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak media.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 700 warga DBKK dan DBKK Holdings serta para jemputan terdiri daripada pemimpin kerajaan, NGO dan persatuan.

Pada majlis itu, Tun Musa turut menyampaikan sumbangan bagi pihak DBKK kepada 10 golongan asnaf yang dikenal pasti oleh JHEAINS, 10 anak yatim serta lima masjid dan surau dalam kawasan pentadbiran DBKK, melibatkan sumbangan wang tunai dan peralatan masjid.

Sabin berharap bantuan tersebut dapat membantu golongan asnaf dan anak yatim membuat persiapan lebih baik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.