LAHAD DATU: Seorang pembantu pembedahan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu-Tawau, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa, Hapipie Yusof, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan membabitkan sebuah Nissan Navara dan motosikal jenis Honda.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang wanita masing-masing berumur 42, 56 dan 11 tahun dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.
“Motosikal mangsa dipercayai berada di bahu jalan sebelah kiri dalam keadaan berhenti sebelum kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan, terbabas dan melanggar motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu dan semua penumpang kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi membantu siasatan.






