Sukarelawan Belia UCSF Kutip 809 KG Sampah Di Pantai Tanjung Lipat

Sukarelawan Belia UCSF Kutip 809 KG Sampah Di Pantai Tanjung Lipat

0
SHARE
Ucsf
Gambar kumpulan sukarelawan dalam Hari Pembersihan Sedunia 2023 di Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan UCSF )

KOTA KINABALU, SABAH – Sekumpulan sukarelawan berdedikasi terdiri daripada pelajar universiti dan kolej dari pelbagai organisasi berjaya membersihkan 809.2 kilogram (KG) sampah di sekitar Pantai Tanjung Lipat.

Aktiviti pembersihan yang berpusat di sekitar Anjung Selera dan Taman Awam Teluk Likas Fasa II itu berlangsung pada Sabtu, 12 Ogos.

Sebahagian sampah yang dikutip terdiri daripada sisa am dan botol plastik, masing-masing seberat 303 kg dan 299 kg.

Acara yang disokong Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu menyaksikan penyertaan aktif lebih 200 individu, termasuk pelajar, kakitangan, dan ahli dari Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF), Yayasan Kemanusiaan Malaysia (MHF), Kolej SIDMA, Junior Chamber International (JCI Kota Kinabalu, JCI Tanjung Aru, JCI Luyang), serta sukarelawan pusat kitar semula bebas yang lain.

Inisiatif pembersihan yang dianjurkan oleh UCSF itu sejajar dengan komitmen institusi terhadap kemampanan sebagai universiti Hijau.

“Memperkasakan golongan muda dan memupuk mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab yang terlibat secara aktif dalam pemuliharaan alam sekitar adalah amat penting,” tegas penyelaras bersama, Dekan Fakulti Sains Semula Jadi Kelestarian (UCSF), Ibrahem Wasti.

Katanya tindakan membersihkan alam sekitar bukan sahaja membawa perubahan ketara tetapi juga berfungsi penghargaan mendalam kita terhadap dunia semula jadi dan kepelbagaian biologinya.

Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Malaysia (MHF) selaku Sekretariat Hari Pembersihan Sedunia Malaysia melihat usaha pembersihan itu sebagai permulaan kepada gerakan yang lebih besar untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk pencemaran alam sekitar dan kaitannya dengan perubahan iklim.

Manakala, Pemimpin Negara untuk Hari Pembersihan Sedunia Malaysia dan Pengarah Eksekutif MHF, Henry Teh Kok Kheng, menekankan keperluan mendesak untuk berusaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030.

Acara itu diadakan bersempena dengan program tahunan Hari Pembersihan Sedunia 2023, yang akan diadakan pada hari Sabtu, 16 September, atau September ketiga setiap tahun seperti yang diterima pakai oleh perhimpunan Agung PBB.

Inisiatif antarabangsa ini bertujuan untuk melibatkan 5 peratuspenduduk di setiap negara dan bandar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan.

Sejak penubuhannya pada 2018, acara itu berjaya menarik penyertaan lebih 70 juta sukarelawan dari 191 negara.

Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris, menekankan kepentingan perkongsian dalam merealisasikan matlamat yang mampan menjelang 2030.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk membina masa depan yang mampan untuk negeri dan negara kami,” katanya.