KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan lima inisiatif penting untuk memastikan kejayaan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dalam persada pendidikan tinggi dan melahirkan belia yang terjamin masa depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif pertama ialah kerajaan negeri melalui Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) akan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM500,000 bersamaan RM 6 juta pada tahun 2024, seperti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023.
Katanya, inisiatif kedua ialah kerajaan negeri melalui ICSB bersetuju memberikan Geran Khas sebanyak RM10 juta untuk kos operasi dan utiliti KTYS bagi tahun 2024.
Menurutnya, inisiatif ketiga ialah kerajaan negeri melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) akan memberi peruntukan khas sebanyak RM3 juta setahun kepada KTYS untuk menjalankan kursus-kursus jangka pendek yang bersesuaian dengan keperluan kerajaan negeri.
“Sebagai permulaan kursus tersebut ialah scuba diving, bekam dan refleksologi,
teknologi drone, bahasa Korea dan Mandarin yang akan dilaksanakan pada tahun
2024”, katanya pada Istiadat Konvokesyen KTSY Ke-26 di Sabah International
Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun.
Katanya, inisiatif keempat ialah kerajaan negeri melalui ICSB bersetuju memberi bonus tahunan kepada kakitangan KTYS sebanyak RM600 seorang dan pemberian ini akan dibayar bersama gaji pada bulan Disember 2023.
Menurutnya, inisiatif lain ialah akan membina sebuah dewan serbaguna di Kampus Induk KTYS, Sembulan dengan kos sebanyak RM450,000.
“Semoga dengan inisiatif-inisiatif ini, KTYS mampu melahirkan graduan yang memenuhi permintaan pasaran industri masa kini.
“Pendekatan digital dan teknologi perlu diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan kefahaman, kemahiran serta pengaplikasian ilmu dalam kehidupan sebenar.
“Pemerkasaan sahsiah dan ilmu juga perlu diterapkan kepada generasi terkini agar seimbang keduanya. Kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia”, tegasnya.
Hajiji berkata, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kini menerima pelaburan asing berimpak tinggi memberi peluang pekerjaan kepada graduan yang mempunyai kemahiran teknikal termasuk dari KTYS untuk bekerja dalam sektor pembuatan dan perindustrian.
Malah katanya, usaha kerajaan negeri untuk menambah dua lagi taman perindustrian di Sabah amat memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan.
Katanya, pihaknya juga akan terus melabur dalam infrastruktur pendidikan, menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak, serta memupuk perkongsian antara institusi pendidikan dan industri.
“Semua inisiatif kerajaan ini untuk memastikan rakyat Sabah berpeluang meneruskan persekolahan hingga ke tahap lebih tinggi, selain membantu mengurangkan beban ibu bapa dan keluarga pelajar daripada golongan B40.
“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini,” tegasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah menyediakan “Human Capital Development Blue Print for Sabah” (2021- 2035) bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa relevan, selain menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.