KUALA LUMPUR – Aina Rosli @nrainrasli mengongsikan pengalamannya dengan orang gaji yang menggunakan susuk di Twitter.
Menerusi mStar, beliau mendakwa pembantu rumahnya tidak boleh makan pisang selain pernah meminta bacaan ayat suci al-Quran dihentikan.
“Nenek saya tengah mengaji, dia datang suruh berhenti. Aku baca Yasin pun dia menjerit suruh berhenti,” katanya.
Aina berkata mula menggaji pembantu rumah berusia 50-an itu pada tahun 2016 untuk menjaga neneknya yang sakit.
“Tapi masih boleh jalan..Dia (pembantu rumah) cuma perlu masak dan kemas rumah sahaja sebab nak bagi nenek rehat.
“Tengah mengaji, dia datang menangis suruh nenek berhenti sebab terasa panas… pada masa sama siaran azan berkumandang di televisyen.
“Laungan azan tu menyebabkan dia terbaring di atas sofa sambil menjerit panas. Ibu nak panggil ustaz sebab tak pernah tengok perkara macam itu.
“Saya pun bacalah Yasin sementara nak tunggu ustaz datang rawat dia. Semasa tengah mulakan rawatan, dia jerit cakap ada perempuan tengah marah dan nak bunuh dia.
“Masa ni, dia pun mengaku ada pakai susuk sebab pernah kerja dekat Arab dulu dan menjadi seorang mistress (perempuan simpanan).
“Dia pakai susuk sebab nak bersaing dengan perempuan lain tapi selepas beberapa tahun kena cerai, dia balik Indonesia dan barulah datang Malaysia nak kerja.
“Sebelum pakai susuk, dia masuk hutan bertapa dekat kampung dia dan kalau nak buang memang kena balik kampung buang dan buang dengan orang yang pasangkan,” kata Aina yang merupakan seorang guru.
Menurut wanita berusia awal 20-an itu lagi, selepas mengetahui perkara tersebut, dia mengambil tanggungjawab untuk mengajar pembantu rumah terbabit cara untuk mandi wajib dan solat.
Pun begitu, semasa permulaan awal kembali solat, dia sering jatuh pengsan.
Disebabkan itu, keluarga Aina mengambil keputusan untuk menghantarnya pulang ke Indonesia selepas dua bulan berkhidmat.
Tambahnya, selepas membuang susuk, wajah pembantu rumahnya hanya kelihatan kusam dan tidak berseri-seri seperti sebelumnya.