SINGAPURA – Rangka Tyrannosaurus rex (T-Rex) berukuran 12 meter akan dipamerkan di Dewan Konsert & Teater Victoria di Singapura mulai 28 hingga 30 Oktober ini.
Pameran itu akan disusuli lelongan rangka dinosaur terbabit semasa Minggu Lelongan Musim Luruh Christie Hong Kong pada November akan datang.
Ini adalah kali pertama rangka T-Rex dilelong di Asia.
Memetik sumber laporab BH, rangka T-Rex itu yang dinamakan Shen, akan dilelong bersama karya seni lain dari abad ke-20 dan 21, termasuk karya Asia Tenggara dan lukisan Cina, serta pelbagai barangan mewah seperti barang kemas, jam tangan dan beg tangan.
Barangan ini akan dipamerkan di The Arts House mulai 29 hingga 30 Oktober, bersebelahan Dewan Konsert & Teater Victoria.
Rangka dinosaur itu berukuran 12.2 meter panjang, 4.6 meter tinggi dan 2.1 meter lebar, serta dianggarkan bernilai antara AS$15 juta (RM70 juta) hingga AS$25 juta (RM116 juta).






