Empat Maut Selepas Van Bertembung Lori Minyak Di Lahad Datu

Empat Maut Selepas Van Bertembung Lori Minyak Di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU – Empat maut selepas sebuah van bertembung dengan sebuah lori minyak di Jalan Lahad Datu Silabukan di sini kira-kira pukul 5.40 pagi tadi.

Kesemua mangsa maut selepas tersepit di dalam van yang diseret di bawah lori sejauh beberapa meter sehingga termasuk ke dalam longkang berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood, berkata sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.59 pagi.

“Sebaik tiba, kita dapati sebuah van dihempap lori tangki berada dalam parit dan anggota bomba terus mengeluarkan mangsa dalam van berkenaan.

“Operasi menggunakan tiga kren dan semua mangsa dikeluarkan pada jam 9.22 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad pula berkata, dua lelaki termasuk pemandu van dan dua wanita maut dalam kemalangan itu.

Mangsa dikenal pasti sebagai pemandu van, Eddie Luna, 46; dan tiga penumpangnya iaitu Mohamad Jujani, 67; Hanisah Baskua, 37; dan Kabdatul Alinjaman, 34.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan menuju ke Lahad Datu.

“Susulan kemalangan itu, polis menahan pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut,”

Menurutnya lagi, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.