ATB 2 Mematahkan Cubaan Kapal Seludup Keluar Minyak Petrol Dan Diesel

ATB 2 Mematahkan Cubaan Kapal Seludup Keluar Minyak Petrol Dan Diesel

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak petrol dan diesel di kawasan perairan Pulau Mantabuan, kelmarin.

Pada jam 04.05 pagi, semasa anggota Tim Quick Reaction Force (QRF)  bersama Bot Viper 02 telah bergerak melaksanakan gerakan pemantauan rutin di kawasan operasi maritim dari Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR).

“Semasa berada di perairan Utara Pulau Mantabuan, QRF telah melihat sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan sedang belayar menuju arah keluar perairan Malaysia.

“QRF telah merapat dan membuat pemeriksan awal terhadap kapal tangki tersebut dan mendapati kapal tersebut membawa tong-tong berwarna biru berisi minyak diesel,” kata kenyataan itu.

Anggota QRF telah melaporkan penahanan kapal tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di MK ATB 2 dan seterusnya POWB telah mengarahkan QRF membuat pemeriksaan terperinci.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa minyak berkapasiti sebanyak 100,000 liter petrol di dalam tangki simpanan, sebanyak 48 tong berkapasiti 200 liter minyak diesel dengan jumlah  sebanyak 9,600 liter manakala 80 tong berkapasiti 200 liter lagi kosong tiada minyak yang diisi. 

“Semasa pemeriksaan dilaksanakan terdapat enam orang lelaki berbangsa Bajau dan Suluk. Hanya tekong dan seorang awak-awak sahaja yang mempunyai kad pengenalan Malaysia…

“Seorang mempunyai sijil kelahiran, seorang lagi mempunyai pasport Filipina manakal dua orang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 47 tahun. 

Tindakan seterusnya, anggota QRF bersama Viper 02 telah mengiringi  kapal tangki tersebut ke Jeti Azumi dan kesemua OKT juga telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19. Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna dan semua OKT diserahkan untuk tindakan lanjut.

IPD Semporna akan menguruskan penyerahan OKT kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Semporna pada 11 Okt 22 manakala kapal dan barang rampasan ditempatkan sementara di Jeti Azumi menunggu KPDNHEP membuat siasatan.

Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM, bantuan dan khidmat nasihat pengurusan  tangkapan oleh ESSCOM disamping komitmen oleh PDRM, APMM dan KPDNHEP berada ditahap yang terbaik dalam terus berusaha menjamin keselamatan dan kemakmuran perairan pantai timur Sabah akan terus terpelihara dengan sebaiknya.

“Anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan untuk sentiasa mempunyai tahap intergriti terbaik demi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya.