KUALA LUMPUR – Ratu Rock negara, Ella, yang baharu sahaja selesai membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 9 dan 11 Ogos bakal terbang ke Singapura pula bagi menjayakan rencana siri konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia ( Singapura ).
Konsert terbabit akan berlangsung pada 12 Oktober 2024 di The Star Theatre yang merupakan anjuran bersama oleh syarikat penganjur terkemuka, Hitman Solutions dengan RockQueen.
Dua hari Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di Plenary Hall, KLCC telah mengumpulkan 6,000 peminat untuk menyaksikan Ratu Rock kesayangan mereka membuat persembahan lebih 30 buah lagu.
Kelainan konsert kali ini, Ella membawakan lagu-lagu klasik untuk peminat bersama artis undangan Haziq Rosebi pada hari pertama dan Dayang Nurfaizah untuk hari kedua.
Demi menyahut permintaan daripada peminat-peminat kesayangan Ella di Singapura yang ingin merasai sendiri siri konsert terbabit, pihak penganjur berhasrat untuk memberikan yang terbaik buat semua bakal penonton yang hadir.
“Saya ingin ke Singapura lagi bagi melepas rindu bersama semua peminat di sana sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka yang tidak berbelah bagi setelah sekian lama,” kata Ella.
Masih mengekalkan khidmat pengarah muzik yang sama, Datuk Acis dengan barisan pemuzik profesionalnya, Ella juga turut mengekalkan tema solidariti di setiap konsertnya,
Selaku senganjur bersama, Rohit Rampal, Pengasas & Ketua Pengarah Eksekutif, Hitman Group menyifatkan Ella bukan sahaja Ratu Rock tetapi dia juga Ratu ‘Sold-Out’.
“Kami sangat terharu serta bersyukur melihat peminat-peminat Ella yang tidak pernah jemu-jemu menyaksikan persembahan beliau secara langsung,” katanya.