SANDAKAN, SABAH – Seorang lelaki berusia 23 tahun yang disyaki membunuh seorang warganegara India, 35, dituduh di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini.
Mohammad Zulfaizzie Hanafi Mohd Firdaus, 23, didakwa membunuh Mohammed Noufal Abdul Rasheed pada 21 Julai 2024 kira-kira jam 5.18 pagi hingga 25 Julai 11.30 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pada Julai, media melaporkan kes kehilangan anak pemilik sebuah restoran berangkai di Sandakan sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Memanjang.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes bunuh berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiada jaminan dibenarkan terhadapnya sementara pihak makhamah masih menunggu laporan forensik, bedah siasat dan kimia yang penuh.
Manakala Majistret, Nur Faezah Jafry menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pegawai Pendakwa, ASP Zamri Zakaria, mengendalikan pendakwaan kes.
Mohammad Zulfaizzie difahamkan ditahan pada 1 Ogos di negeri Selangor. Dua lagi suspek yang masih bebas giat diburu pihak polis.