Kelemahan Warisan Buka Mata Rakyat, Bekas Ahli Berpaling ke Gagasan Rakyat

Kelemahan Warisan Buka Mata Rakyat, Bekas Ahli Berpaling ke Gagasan Rakyat

0
SHARE

PITAS: Kelemahan pentadbiran dan kepimpinan Parti Warisan semasa menjadi kerajaan sebelum ini menjadi faktor utama beberapa bekas ahli parti itu di Pitas mengambil keputusan meninggalkan Warisan dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Bagi mereka, pimpinan kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat lebih berkesan dalam membawa perubahan dan pembangunan sebenar di daerah Pitas, khususnya di peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Mohd Khairul Nizam Wardi

Bekas Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Pitas, Mohd Khairul Nizam Wardi, 23, berkata golongan muda kini lebih matang dalam menilai prestasi kerajaan dan tidak mahu terus tertinggal dari arus pembangunan.

“Kita, anak muda ni, tidak buta. Kita mahu pembangunan – gelanggang, kemudahan sukan, peluang untuk belia. Kita nampak apa yang Datuk (Ruddy Awah) buat, jadi kita sokong dia,” katanya ketika ditemui selepas majlis kemasukan ahli baru ke Gagasan Rakyat di Kampung Rosob Pantai.

Beliau menambah, usaha kepimpinan GRS memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan belia turut menarik minat anak muda di Pitas.

“Datuk Seri lebihkan kepada pendidikan. Itu yang kami mahu sebenarnya,” katanya.

Wardi Jais

Sementara itu, Wardi Jais, 50, dari PDM Kampung Rosob Pantai, berkata beliau memilih untuk menyertai Gagasan Rakyat selepas melihat perubahan ketara yang dibawa oleh wakil rakyat sedia ada.

“Dulu kampung kami banyak masalah — air, elektrik, dewan pun tidak ada. Tapi sekarang semua itu dapat diatasi sedikit demi sedikit. Datuk Ruddy tetap membantu walaupun kami bukan penyokong beliau ketika itu,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan seperti itu wajar diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Rasanya lima tahun tidak cukup. Kami ambil keputusan untuk beri dia peluang lagi satu penggal,” tambahnya.

Julmaiah Nasip

Bagi Julmaiah Nasip, 44, mantan Pemaju Mukim UPPM Pitas, pengalamannya dalam pentadbiran Warisan membuatkan beliau menyedari kelemahan parti itu dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

“Selepas pertukaran kerajaan, saya perhati. Dalam dua tahun Warisan memerintah, tiada perubahan besar. Mereka terlalu sibuk menyusun jentera dan jawatan, tapi pembangunan di bawah tidak bergerak,” ujarnya.

Julmaiah berkata, keadaan itu berbeza selepas GRS mengambil alih pentadbiran.

“Kita tidak dapat nafikan, ada perubahan di Pitas. Datuk Seri (Ruddy Awah) membawa pembangunan dan mudah didekati rakyat. Itu yang buat saya tertarik untuk menyertai GRS,” katanya.

Kesemua mereka sependapat bahawa GRS dan PGRS wajar diberi mandat lima tahun lagi bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan pembaharuan di Pitas dapat diteruskan secara menyeluruh.

Datuk Seri Ruddy Awah mula mencipta nama dalam arena politik Sabah apabila berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 sebagai calon Bebas, menewaskan calon-calon daripada parti utama ketika itu termasuk Warisan.

Datuk Seri Ruddy Awah

Kemenangan beliau sebagai calon Bebas dilihat mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan peribadinya dan keupayaan beliau membawa suara penduduk luar bandar.

Selepas pilihan raya tersebut, beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kemudiannya menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Sejak itu, beliau terus memainkan peranan penting sebagai wakil rakyat Pitas di bawah gabungan kerajaan negeri, dengan tekad memperkukuh pembangunan dan kestabilan politik di kawasan yang diwakilinya.