
KUALA LUMPUR – Seorang pelakon sambilan lelaki ditahan selepas dikesan memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang semalam.
Memetika sumber Berita Harian, rakaman video yang tular menunjukkan kenderaan dipercayai dipandu pelakon sambilan berusia 30-an itu, dikendalikan secara berbahaya di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata pemandu Perodua Myvi terbabit dikesan menukar lorong secara melulu sebelum dipercayai gagal mengawal kenderaan.
“Akibat tindakan itu, pemandu Perodua Myvi terbabit terlanggar sisi kiri sebuah Toyota Innova.
“Pelanggaran menyebabkan penumpang hadapan Myvi berkenaan tercampak dari kenderaan ke jalan raya dan cedera ringan,”
Dalam pada itu, Mohamad Farouk turut berkata siasatan awal mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Myvi yang memandu secara melulu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan denda tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun.
Katanya, pemandu kedua-dua kenderaan tampil membuat laporan semalam dan pihaknya menahan pemandu Myvi untuk untuk siasatan sebelum membuat permohonan reman.





