KOTA KINABALU, SABAH – Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengingatkan orang ramai untuk berwaspada ketika menghadapi cuaca hujan lebat yang dijangka berlangsung sehingga esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi menasihati penduduk agar segera menjauhkan diri dari tempat yang dilanda banjir.
“Pindah segera ke pusat pemindahan sementara apabila diarah oleh pihak berkuasa dan matikan semua punca bekalan elektrik sebelum berpindah…
“Jangan menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir dan jangan sesekali melalui jalan yang sudah dinaiki air.
“Jangan lalui sungai yang banjir sebab kederasan air sukar diduga selain serpihan kayu hanyut yang boleh menggangu kestabilan kereta anda,” katanya.
Beliau berkata ini dalam ingatan dua individu yang terkorban semasa kenderaan MyVi dinaiki mereka hanyut ketika cuba melintas jambatan yang ditenggelami air pada awal bulan ini.
“Sekiranya mula banjir, sediakan beg yang mengandungi keperluan seperti pakaian, makanan dan dokumen penting bagi mempercepatkan proses pemindahan,” katanya lagi.