769 PATI Filipina Dipulangkan ke Zamboanga City

769 PATI Filipina Dipulangkan ke Zamboanga City

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 769 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina telah dipindahkan pulang ke negara asal mereka hari ini dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

Pemindahan itu melibatkan tahanan dari tiga depot imigresen iaitu di Papar, Sandakan dan Tawau yang dihantar melalui Pelabuhan Sandakan menggunakan kapal MV ANTONIA 1 menuju ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, kumpulan PATI tersebut terdiri daripada 438 lelaki dewasa, 140 perempuan dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 93 kanak-kanak perempuan, berumur antara tiga bulan hingga 73 tahun.

“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua tahanan terlibat telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk proses pemindahan ini.

“Sehingga hari ini, seramai 4,762 warganegara Filipina telah dihantar pulang melalui program ini, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 5,620 orang PATI yang telah dipindahkan dari Sabah sahaja,” katanya.

Tambah beliau, operasi seumpama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk mengurangkan tempoh penahanan PATI di depot-depot imigresen negeri.