KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah menganjurkan satu program khas bagi menghargai sumbangan para guru sempena kejayaan cemerlang pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sekali gus menyambut Hari Guru.
Yang Dipertua PIBG, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk menunjukkan penghargaan kepada guru-guru yang telah banyak berkorban demi memastikan kejayaan pelajar.
“Peningkatan keputusan SPM tahun ini di Maktab Sabah sangat ketara. Justeru, program ini adalah simbol penghargaan kepada guru-guru yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini,” katanya ketika ditemui media selepas Program Penghargaan tersebut baru-baru ini.
Menurut beliau, PIBG akan terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah untuk menganjurkan lebih banyak program pembangunan pelajar dan pengiktirafan kepada warga pendidik.

Dalam majlis yang sama, PIBG turut menerima sumbangan peranti iBot daripada syarikat Jetama sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan digital di sekolah berkenaan.
“Ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan penglibatan komuniti dan PIBG dalam memajukan pendidikan. Pendidikan digital adalah keperluan masa kini dan kami berusaha memastikan pelajar-pelajar Maktab Sabah tidak ketinggalan,” tambah beliau.
Datuk Mohd Arif turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negara ini, khususnya di negeri Sabah.
“Kolaborasi erat antara PIBG, sekolah dan masyarakat penting dalam memastikan keberhasilan pendidikan. Apabila masyarakat menghargai usaha guru, ini akan menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berbakti,” katanya lagi.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 43 guru tingkatan lima dan tingkatan enam sebagai pengiktirafan atas kejayaan membimbing pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang.






