Sabah Perlu Fokus Kepada Solusi, Bukan Kitar Semula Naratif Lama – Nizam...

Sabah Perlu Fokus Kepada Solusi, Bukan Kitar Semula Naratif Lama – Nizam Bidas Suhaimi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menegaskan keperluan untuk fokus kepada penyelesaian menyeluruh terhadap isu kemudahan asas di negeri itu, bukannya terus mengitar semula naratif lama yang tidak membantu rakyat.

Dalam satu kenyataan media, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berhubung isu air, elektrik dan jalan raya harus dinilai secara objektif dan berasaskan fakta.

“Sebagai Ahli Parlimen, adalah hak beliau untuk menyuarakan suara rakyat. Namun, sebagai bekas anggota kerajaan terdahulu, beliau juga harus bertanggungjawab secara jujur dan adil dalam menilai keadaan hari ini,” katanya.

Beliau turut memetik kenyataan Datuk Suhaimi mengenai kutipan hasil balak Sabah berjumlah RM5.3 bilion dari tahun 1999 hingga 2023 sebagai satu bentuk pengakuan bahawa pentadbiran lalu, yang didominasi UMNO dan Barisan Nasional, gagal menterjemahkan kekayaan negeri kepada pembangunan infrastruktur asas.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, kerajaan Sabah kini hanya menguruskan hasil balak dari tahun 2020 hingga 2023, dengan jumlah kutipan sekitar RM639 juta – satu angka yang jauh dari mencukupi untuk menampung keperluan menyeluruh pembangunan infrastruktur negeri.

“Perumpamaannya seperti cuba membeli Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil. Mustahil jurang pembangunan yang diwarisi sejak puluhan tahun dapat ditutup dengan serta-merta,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan dana sebanyak RM7.5 bilion yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan antara tahun 2006 hingga 2015 untuk menangani isu kemudahan asas, namun hasilnya tidak jelas kepada rakyat.

Datuk Nizam juga mengingatkan bahawa selepas Pilihan Raya Negeri pada 2020, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan negeri dan memegang portfolio penting termasuk Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Kerja Raya Sabah.

“Namun tidak banyak penyelesaian konkrit yang dapat dibuktikan sepanjang tempoh tersebut,” katanya lagi.

Menjawab isu berkenaan, beliau menegaskan bahawa kerajaan Sabah kini sedang melaksanakan beberapa projek besar untuk menangani masalah bekalan air, tenaga elektrik dan jalan raya.

Antaranya termasuk pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang dijangka siap menjelang 2030 dan mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari – cukup untuk keperluan Sabah selama 100 tahun, selain menyumbang 15 peratus tenaga kepada grid negeri.

Bagi isu tenaga, penambahan kapasiti melalui tenaga solar, sistem bateri simpanan dan sambungan bekalan dari Sarawak sedang dalam pelaksanaan. Sementara itu, projek Lebuhraya Pan Borneo serta peruntukan hampir RM500 juta oleh kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar turut sedang dijalankan.

Datuk Nizam menegaskan bahawa jalan-jalan utama di Sabah adalah jalan Persekutuan, dan tanggungjawab penyelenggaraannya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan – bukan negeri.

“Sebagai Ahli Parlimen, Datuk Suhaimi tentu lebih arif mengenai pemisahan kuasa ini. Maka, tidak wajar segala kesalahan ditujukan kepada kerajaan negeri semata-mata,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar Datuk Suhaimi membawa isu infrastruktur ini kepada Presiden UMNO, yang kini menjawat jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah – kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan luar bandar.

“Kerajaan Sabah hari ini menunjukkan kadar penyelesaian lebih tinggi berbanding era lalu, kerana keikhlasan tadbir urus kini kembali kepada rakyat melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi,” tegas beliau.