SPRM Sabah Tahan Penjawat Awam Minta, Makan Rasuah RM15,000

SPRM Sabah Tahan Penjawat Awam Minta, Makan Rasuah RM15,000

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 dari sebuah syarikat pembalakan.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki berumur sekitar 40-an telah ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah kira-kira jam 10.00 pagi pada hari ini semasa hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada bulan September 2019 kerana meminta wang rasuah kira-kira RM30,000.00 dan telah menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pembalakan sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

“Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM 10,000 serta seorang penjamin dan di jangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam di Sabah agar tidak terlibat dengan gejala rasuah kerana ianya akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti.