TAWAU, SABAH – Mayat seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas keluar ke laut untuk aktiviti memukat ikan bilis di atas ‘bagang’ sekitar perairan Kalumpang sejak petang Isnin lalu ditemui hari ini.
Menurut laporan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tawau, mayat mangsa ditemui di perairan berhampiran Kampung Inderasabah pada pukul 9.56 pagi tadi.
Terdahulu, aduan kejadian diterima melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) pada jam 3.01 petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 3.30 petang bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas selepas bot mangsa ditemui tanpa pengendali di perairan Pulau Buatan oleh penduduk setempat.
Menurut laporan dari pengadu, mangsa dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah pada keesokkan harinya sebelum melaporkan kejadian.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, sejurus selepas OP CARILAMAT diaktifkan, sebuah bot peronda dan sebuah kapal maritim telah diaturgerak ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian mangsa.
“Pos Hadapan Carilamat (PHC) telah dibuka di Kampung Inderasabah bagi menyelaraskan operasi CARILAMAT yang melibatkan aset-aset dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam sambil dibantu oleh penduduk setempat.
“Sebanyak lima buah aset telah diatur gerak pada hari pertama OP CARILAMAT membabitkan kira-kira 60 anggota dengan keluasan kawasan pencarian sehingga 101 batu nautika persegi.
“Berdasarkan maklumat, mangsa , Ibnu Hajar Mustamar berumur 33 tahun keluar berseorangan menaiki bot untuk menjalankan rutin harian sebagai pemungut ikan bilis di bagang.
“Terakhir mangsa dilaporkan mengenakan pakaian berwarna hitam ungu gelap dan berseluar serba hitam,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Mayat mangsa dijumpai oleh penduduk setempat itu seterusnya dibawa oleh pasukan CARILAMAT ke Jeti Awam Kampung Inderasabah untuk pengecaman dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
OP CARILAMAT yang diselaraskan oleh MRSC Kota Kinabalu ditamatkan pada jam 11.00 pagi tadi setelah hari kedua pencarian mangsa ditemukan.