KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini tidak memproses permohonan penganjuran perhimpunan Kami Mahu Air Sabah kerana permohonan yang tidak lengkap.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda oleh yang demikian menasihati masyarakat khususnya mahasiswa agar tidak terlibat.
“Perhimpunan ini tidak mempunyai kelulusan atau permit daripda Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Kinabalu.
“Surat maklum balas telah dihantar kepada sekretariat penganjur yang menyatakan permohonan tidak dapat diproses telah dihantar kepada penganjur melalui pos dan WhatsAppp kerana tidak dapat dihubungi,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengumumkan untuk menganjur perhimpunan tersebut pada Jumaat ini (14 Jun) di hadapan Menara Kinabalu.
Tujuan mereka adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah berkenaan isu masalah air yang sering dihadapi.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dalam lawatan ke UMS pada Sabtu lepas berkata projek pembinaan enam telaga tiub telah siap sepenuhnya dan akan berfungsi sebagai alternatif bagi mengatasi isu berkenaan.
Projek pembinaan telaga tiub itu menggunakan peruntukan RM3 juta daripada Pejabat Perdana Menteri.
Difahamkan projek itu mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa perubahan aspek reka bentuk.