Datuk Dan Nenek Sebelah Bapa Zayn Rayyan Ditahan

Datuk Dan Nenek Sebelah Bapa Zayn Rayyan Ditahan

0
SHARE
Polis percaya kanak-kanak penghidap Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mati akibat dibunuh tahun lalu...(Sumber Foto: Laman media sosial)

PETALING JAYA – Datuk dan nenek sebelah bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin telah ditahan bagi memudahkan siasatan ke atas pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pasangan itu ditahan jam 2.30 petang tadi (Rabu).

“Mereka ditahan di Subang Bestari. Permohonan reman ke atas mereka akan dibuat di mahkamah Petaling Jaya esok,” katanya memetik Berita Harian.

Awal hari ini, peguam yang mewakili ibu Zayn Rayyan telah membantah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan bersalahnya di hadapan majistret.

Peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat membuat bantahan terhadap permohonan polis mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan di hadapan majistret Petaling Jaya Zhafran Rahim Hamzah semasa prosiding.

Fahmi mendakwa seorang pegawai penyiasat telah membawa ibunya ke mahkamah majistret dengan tujuan mengeluarkan pengakuan bersalah daripada ibunya.

Manakala bapa budak itu tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Mahmud pula berkata ibu Zayn Rayyan tidak membuat pengakuan sebaliknya hanya memberi kenyataan melalui sidang tertutup.

Kedua-dua peguam membantahan kenyataan ibu Zayn yang telah direkod majistret.

Fahmi yang dibantu peguam bersama Ilyani Khuszairy mengesahkan akan mewakili bapa kanak-kanak itu manakala Mahmud akan mewakili ibunya.

Fahmi berkata ibunya meminta hanya Mahmud yang tinggal semasa prosiding.

Perintah reman 13 hari pasangan itu bagi memudahkan siasatan kes pembunuhan akan tamat dengan hari keputusan esok.

“Saya percaya kertas siasatan ada di Jabatan Peguam Negara dan kita akan tahu siapa yang akan dibebaskan atau didakwa…

“Tiada lanjutan perintah reman itu,” kata Fahmi menerusi NSTP.