RM33 JUTA UNTUK PERKUKUHKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN: KM HAJIJI

RM33 JUTA UNTUK PERKUKUHKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN: KM HAJIJI

0
SHARE
KOTA KINABALU, 15 Sept -- Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor ketika temu bual bersama Bernama berhubung sambutan Hari Malaysia di pejabatnya semalam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption ***

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM33 juta tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan terutama kursus dan latihan berkaitan kemahiran sains, teknologi dan inovasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, sebanyak RM12.92 juta lagi diperuntukkan untuk pelaksanaan kursus dan penyelidikan di institut pertanian di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi penekanan dalam pembangunan modal insan agar dapat melahirkan sumber tenaga yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang menjadi aset penting kepada kemajuan kehidupan sejagat.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada UMS termasuk dari aspek kewangan bagi membolehkannya menjalankan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing, selain dapat membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai tinggi, nilai untuk didagang serta meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Excocipta 2024 sempena Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2024 UMS di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2,UMS, di sini, semalam.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Katanya, para penyelidik harus memastikan segala penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan menjadi penentu sesebuah universiti itu terus relevan atau sebaliknya.

Penyelidikan yang dilaksanakan harus mengambil kira faktor signifikan seperti relevan, realistik dan mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara.

“Sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja memiliki para cerdik pandai atau sarjana yang berupaya mendidik insan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi tuntutan pasaran dan industri, UMS juga harus mampu membina gagasan dan idea bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa,” katanya.

Hajiji berkata, inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik diharap dapat membantu memacu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat dan negeri Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan aktiviti penyelidikan dan inovasi UMS dalam bidang pertanian, akuakultur, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui, kerana Sabah sendiri mempunyai sumber alam yang banyak dalam bidang berkenaan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan sumber ekonomi baharu.

Dalam usaha meningkatkan lagi penyelidikan di negeri ini, beliau menyarankan para penyelidik mengadakan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang, menjalin kolaborasi dengan komuniti setempat dan pihak industri.

“Saya berharap agar universiti terus menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan ahli akademik dan dibawa ke luar iaitu kepada masyarakat misalnya ke sekolah.

“Langkah ini juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agar para saintis turun ke 100 buah sekolah khasnya sekolah pinggir bandar dan luar bandar setiap bulan bagi mengadakan program pendedahan berkaitan sains,” katanya.

Mengulas mengenai EXCOCIPTA 2024, beliau berharap kejayaan para pemenang akan menjadi pendorong untuk terus menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang bermutu, sekaligus membawa penyelidikan ke peringkat antarabangsa dan memberi manfaat kepada masyarakat.